Peranan doa seorang ibu itu memainkan peranan yang penting dalam
penghijrahan mereka mencari Allah. Dan saya pasti anda tahu kenapa ia penting.
Tidak lain tidak bukan, kerana doa seorang ibu itu sangat mustajab. Bukan saya
mengatakan bahawa seorang itu tidak akan dapat mendapat hidayah jika ibunya
tidak mendoakan mereka; namun melihat kepada video-video diatas, saya pasti
bahawa kerana doa ibu-ibu mereka lah perjalanan mereka mendekati Allah menjadi
lebih mudah. Ya, mereka amat bertuah kerana mempunyai seorang ibu yang
mendoakan agar mereka bertemu hidayah Allah setelah menyusuri zaman jahiliah.
Kepada sahabat-sahabat perempuan saya, senior-senior perempuan saya, juga
adik-adik akak yang akak sayang, ingatlah, suatu hari nanti kita akan menjadi
seorang ibu. Kita akan punyai anak-anak kita sendiri. Lantas, hebat atau buruk
nya generasi anak-anak kita terletak di bahu kita. Kerana kitalah yang akan
mendidik anak-anak kita, dan kita jua lah yang memegang doa sakti yang sangat
berkesan ke atas anak-anak kita. Adakah kelak kita akan menjadi seorang ibu
yang mendoakan kebaikan anak-anak kita? Adakah kelak kita akan menjadi seorang
ibu yang mendoakan agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh solehah,
yang mendirikan solat, yang mengeluarkan zakat, yang melakukan amar makruf dan
nahi mungkar, yang sentiasa dekat dengan Allah, jua yang kelak akan mendoakan
kesejahteraan buat diri kita di akhirat sana?
Mungkin ramai antara kalian yang mengatakan: Pasti! Pastilah kami akan
mendoakan sebegitu buat anak-anak kami. Takkan lah ada ibu yang tidak mendoakan
sebegitu untuk anak-anaknya.
Ini soalan seterusnya daripada saya. Apakah kalian yakin bahawa kalian akan
mendoakan doa-doa yang baik buat anak-anak kalian jika kalian sendiri tidak
baik? Apakah mungkin kalian mendoakan anak-anak kalian menjadi anak-anak yang
soleh dan solehah jika kalian sendiri tidak solehah? Apakah bisa kalian
mendidik anak-anak kalian mengenali Allah serta mendekatkan diri dengan Allah
jika kalian sendiri jauh sekali dengan Allah? Apakah mungkin?
Kebarangkalian besarnya kita tidak akan mendoakan perkara-perkara ini jika
kita sendiri tidak baik. Bagaimana mungkin kita mendoakan anak-anak kita
menjadi orang-orang yang mendirikan solat jika kita sendiri tidak solat cukup
lima waktu sehari semalam. (Iyalah, solat pun tidak, bila masa nak berdoa nya,
kan?). Bagaimana mungkin kita melatih anak-anak kita menjadi orang yang
memelihara maruah dan harga diri jika kita sendiri berpakaian serba seksi untuk
ditatap semua orang. (Sudah pasti jika kita berpakaian dengan seksi hari ini,
kelak kita ingin melihat anak-anak kita mewarisi ‘kecantikan’ diri kita).
Bagaimana mungkin kita mendoakan anak-anak kita menjadi orang yang dekat dengan
Allah jika kita sendiri belum tentu kenal benar dengan Allah. Bagaimana mungkin
anak-anak kita mengenali Al-Quran dan beramal dengannya jika kita sendiri tidak
pernah membaca Al-Quran di dalam rumah. Kan?
Jika anda faham apa yang saya katakan, saya berharap anda juga dapat lihat
bahawa baik buruknya generasi anak kita kelak adalah sangat bergantung kepada
siapakah kita pada hari ini. Saya yakin, sebagai seorang ibu, tidak ada siapa
yang mahu melihat anaknya ‘hancur’ dalam kehidupan. Tidak ada yang mahu anaknya
hidup liar tidak tentu arah. Tidak ada yang mahu anak-anak perempuannya
diangkut ke hulu ke hilir oleh jantan-jantan yang tidak kita ketahui latar
belakangnya dan belum tentu menjadi suami anak-anak kita. Tidak ada juga yang
mahu anak-anak laki kita liar meraba anak-anak dara orang lain, mahupun liar
memerhatikan perempuan-perempuan seksi di tengah jalan. Saya yakin, tidak ada
jua yang mahu anak dia membesar sebagai seorang yang kuat mencarut, yang
melawan cakap anda sebagai seorang ibu, yang mencuri, yang menipu dan
sebagainya.
Oleh itu, saya ingin menyeru diri saya sendiri, juga kalian
semua..sahabat-sahabat perempuan saya, kakak-kakak senior saya, juga adik-adik
akak yang akak sayang, ayuhlah kita ubah diri kita hari ini menjadi seorang
yang lebih baik. Ayuhlah kita memupuk akhlak-akhlak mulia dalam diri kita, dan
mendidik diri kita dengan menjadi seorang wanita solehah. Agar kelak, kita
dapat lahirkan generasi yang mantap. Yang mulia akhlaknya, yang baik budi
pekertinya, yang sopan pakaiannya, yang santun ucapannya dan yang paling utama,
mengenali Allah dan menghidupkan islam dalam diri mereka. Yakinlah, mereka akan
mewarisi siapa kita pada hari ini. Ini bertepatan dengan sabda nabi SAW: Setiap
anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang
bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi,
Nasrani dan Majusi . (riwayat Bukhari dan Muslim). Ke mana tumpahnya kuah andai
tidak ke nasi?
Moga Allah kurniakan hidayah buatku dan buatmu serta memberi kita kekuatan
untuk berubah ke arah yang lebih baik serta kekuatan untuk mujahadah dan
istiqomah di atas perubahan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan